Sunday, July 21, 2013

Membaca Sadaqallahul `Azim Selepas Membaca Al-Quran Adalah Bid`ah??

(terimakasih sumber http://hairulnizammathusain.blogspot.com)
Dulu saya pernah membaca al-Quran di dalam dewan kuliah di Tanta. Selepas selesai membaca, saya terus menyudahkan bacaan saya dengan Sadaqallahul Azim. Seorang teman warga Arab Mesir terus menegur saya dengan menyatakan "Membaca Sadaqallahul `azim adalah bid`ah kerana Rasulullah tidak melakukannya".

Ini adalah satu contoh situasi yang memperlihatkan kepada kita manusia-manusia mujtahid jadi-jadian. Mereka cukup mudah untuk berlagak bak seorang faqih dan begitu cepat menyatakan bahawa ini adalah bid`ah, haram dan sebagainya.

Dalam tiga empat hari lepas, kami sama-sama membaca surah Ali Imran di hadapan Syeikh Yusri. Bacaan kami akhirnya sampai pada ayat 95 surah berkenaan yang berbunyi:



yang bermaksud: Katakanlah "Sodaqallah" (Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah). Maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid) dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik. 

Ketika mengulas ayat ini, Syeikh Yusri menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita untuk mengucapkan 'Sodaqallah'. Beliau bertanya kepada kami "Bilakah waktu yang paling sesuai untuk kita mengucapkan Sodaqallah? Selepas ayah kita selesai berucap, selepas Husni Mubarak selesai memberikan ucapan ataupun yang paling munasabah dan sesuai adalah selepas ayat-ayat Allah dibacakan?"

Beliau menyatakan: "Semestinya waktu yang paling sesuai untuk kita menyatakan Sodaqallah adalah selepas ayat-ayat al-Quran dibacakan".

Saya tersenyum sendirian apabila memikirkan kisah saya yang ditegur apabila mengungkapkan Sodaqallah seusai saya menyudahkan bacaan al-Quran al-Karim.

Rupa-rupanya bukan hanya ada harimau jadian, atau serigala jadian. Ada lagi satu: Mujtahid Jadian.

Ya Allah. Jadikan saya seorang mujtahid yang didasari dengan ilmu bukannya mujtahid jadian. Amin.

No comments:

Post a Comment