Sunday, November 3, 2013

Masjid jadi tarikan pelancong

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL utusanpenang@utusan.com.my

Masjid Kapitan Keling dibangunkan oleh Caudeer Mohuden bagi kemudahan kaum India Muslim yang datang berniaga ke Pulau PInang lebih 200 tahun lalu kini antara masjid tercantik di negeri tersebut . - utusan/ISMAIL KAMADIN.

PULAU PINANG 30 Okt. - Georgetown sememangnya amat dikenali dalam peta pelancongan kerana status bandar Warisan Dunia yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) pada 2008.

Atas faktor berkenaan, bandar ini menerima kunjungan lebih sejuta pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun yang mahu menyaksikan sendiri keistimewaan sebenar bandar yang mempunyai lebih 500,000 penduduk itu.

Tumpuan utama sudah pasti terarah pada bangunan-bangunan lama yang memayungi hampir segenap pelosok bandar selain beberapa lokasi pelancongan menarik lain dan kepelbagaian makanan yang terdapat di negeri ini.

Ketika ini kebanyakan bangunan lama yang terdapat di sini dijadikan sekolah, pusat pentadbiran kerajaan, balai polis, hotel, pusat beli-belah, pejabat pos, kuil dan gereja termasuk sebuah kota yang didirikan Francis Light di Padang Kota Lama.

Namun daripada lebih 12,000 buah bangunan lama yang terdapat di Georgetown, terdapat puluhan masjid yang turut menjadi tarikan dan meningkatkan lagi status bandar ini sebagai lokasi percutian yang mempunyai pelbagai sejarah tamadun bangsa dan agama.

Salah satu daripadanya yang menjadi tumpuan ialah Masjid Kapitan Keling yang terletak di persimpangan Lebuh Buckingham dan Jalan Masjid Kapitan.

Masjid yang dibina pada kurun ke-19 itu boleh dikatakan sebagai lokasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke negeri yang juga dikenali sebagai Pulau Mutiara itu.

Binaan masjid tersebut berunsurkan campuran seni bina Islam dan Monggol yang mula dibina pada 1801.
Bangunan tersebut merupakan antara masjid tertua di negeri ini dan mampu menampung lebih 500 jemaah pada satu-satu masa.

Selain berfungsi sebagai tempat beribadat, masjid berkenaan juga dijadikan tempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan oleh penduduk sekitar terutama bagi golongan India Muslim.

Setiap minggu pelbagai program diadakan di situ termasuk pameran, kerja amal seperti memberi makanan kepada orang gelandangan selain terdapat sebuah muzium mini.

Pengurusan masjid tersebut juga 'mesra' kepada pelancong dengan turut membenarkan pelancong bukan Islam melawat ke dalam kawasan-kawasan tertentu di dalamnya sama seperti di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Pihak pengurusan masjid menyediakan jubah kepada pelancong wanita supaya tuntutan menurut aurat dalam kawasan masjid dilaksanakan di situ

Dianggarkan lebih 100,000 pelancong asing melawat masjid itu setiap tahun dengan majoritinya dari Eropah, Australia dan Jepun.

Seorang pelancong Australia, Rebecca Voulkulos, 25, berkata, dia tertarik untuk melawat masjid berkenaan setelah membaca risalah mengenainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Seni binanya menarik dan kawasan sekitar dijaga rapi dan bersih. Saya berasa sangat dialu-alukan apabila menerima layanan mesra malah turut dibenarkan masuk ke bahagian tertentu dalam masjid.
"Ini membuatkan kunjungan saya ke negara ini lebih bermakna dan sudah pasti banyak lagi tempat lain yang ingin saya kunjungi selepas ini," katanya.

Bagi pelancong tempatan pula, terdapat satu lagi tarikan istimewa di kawasan masjid tersebut menjelang pukul 10 malam.

Ini kerana sebuah kedai nasi kandar yang cukup popular iaitu Nasi Kandar Beratur terletak di penjuru pintu masuk masjid berkenaan yang dikunjungi ramai pelanggan setiap malam.

Ada yang sanggup beratur sepanjang hampir 100 meter semata-mata mahu menikmati nasi kandar di situ.
Populariti nasi kandar berkenaan turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mengambil peluang menikmatinya ketika melakukan lawatan kerja ke sini awal tahun ini.

Jelaslah Masjid Kapitan Keling turut memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ekonomi bagi penduduk Islam di kawasan berkenaan kerana lawatan ke situ pasti akan diakhiri dengan acara membeli-belah di sekitar kedai-kedai pakaian dan emas yang terdapat di situ.

Selain Masjid Kapitan Keling, beberapa masjid lain di tengah bandar ini turut menarik perhatian pelancong seperti, Masjid Jamek Simpang Enam yang terletak di Jalan Macalister, Masjid Jamek Titi Papan (Jalan Burma), Masjid Jamek Benggali (Lebuh Leith), Masjid Jamek Alimshah Walley (Lebuh Chulia), Masjid Jamek Lebuh Acheh dan Masjid Jamek Jalan Hutton.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20131031/wu_01/Masjid-jadi-tarikan-pelancong#ixzz2jXSZpyht
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20131031/wu_01/Masjid-jadi-tarikan-pelancong)

No comments:

Post a Comment