belia
Anuar (dua, kiri) sentiasa berusaha meluangkan masa bersama mengikuti program sekitar daerah ini.














SEGAMAT - Kelebihan dilahirkan sebagai anak sulung menjadi titik tolak buat anak jati Felda Pemanis Dua ini untuk menjadi pemimpin dan membela nasib belia di daerah Segamat sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Anuar Abd Manap berkata, sebagai anak jati Felda, beliau tidak pernah kering idea merancang dan mengadakan aktiviti berguna bagi memantapkan anak muda daripada pelbagai segi.

“Sejak memikul amanah sebagai Pengerusi Majlis Belia daerah ini pada 2010, memang niat utama saya ialah ingin melihat belia di daerah ini khususnya mempunyai semangat juang yang jitu serta memahami kepentingan mereka dalam negara ini.

“Kebanyakan anak muda cenderung mengikuti rentak kehidupan ala barat, sedangkan adat budaya kita sendiri jauh lebih istimewa dan berharga untuk dikekalkan,” katanya.

Menurut Anuar, selain daripada terus mengekalkan nilai hormatmenghormati, bantu-membantu serta bekerjasama antara satu sama lain, golongan muda sepatutnya melibatkan diri dengan aktif dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti sukan, gotong-royong dan program membantu golongan kurang bernasib baik, meskipun mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Beliau juga melahirkan rasa bangga dengan belia daerah Segamat yang kebanyakannya masih teguh berpegang dengan nilai-nilai murni.

“Ini jelas dapat dilihat ketika daerah Segamat dilanda banjir besar pada akhir Januari lalu.

“Kaum belia daerah ini memberi kerjasama yang tidak berbelah bahagi sewaktu pihak kami ingin mengumpulkan sukarelawan membantu mangsa banjir,” katanya.

Selain itu, Anuar menambah, sejak kebelakangan ini, generasi muda di sini juga menunjukkan perkembangan yang baik seperti di peringkat Felda Pemanis 02 yang berjaya merangkul Anugerah Persatuan Belia Cemerlang daerah dan negeri.

“Ini menjadi pembakar semangat kepada belia lain untuk terus berdaya saing melalui penglibatan daripada semua aktiviti yang dijalankan termasuk mengadakan program tersendiri di peringkat daerah dalam usaha menyatukan belia dalam kelompok besar.

“Usaha dan perjuangan saya semakin membuahkan hasil apabila di belia daerah memenangi Badan Gabungan Terbuka Peringkat Negeri Johor sekali gus merealisasikan dan mencerminkan semangat 'satu hati satu jiwa' belia daerah ini,” katanya.

Di samping itu, menurutnya, prasarana di Segamat seperti pasar raya, panggung wayang dan padang permainan paintball turut ditingkatkan demi menarik golongan muda melakukan aktiviti berfaedah.

“Pertambahan prasarana ini meningkatkan pertumbuhan ekonomi daerah ini dan secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi semua peringkat umur terutamanya belia,” katanya.
(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/hasrat-bimbing-belia-jadi-pemimpin-1.53467)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.