Tujuh pusat hiburan disaman
Pihak MDS bersama agensi lain ketika membuat pemeriksaan di salah satu premis.














SEGAMAT - Majlis Daerah Segamat mengeluarkan tujuh saman kepada pusat hiburan sekitar daerah ini kerana mengingkari arahan menutup premis masing-masing bagi menghormati kehadiran Tahun Baru Maal Hijrah, kelmarin.

Yang Dipertuanya, Ismail Abu berkata, operasi bersepadu penguatkuasaan pusat hiburan itu merupakan usaha tahunan yang dilaksanakan bersama pihak Pejabat Daerah Segamat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Agama Daerah Segamat dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Dua minggu yang lalu surat rasmi telah dikeluarkan kepada semua premis pusat hiburan untuk menutup premis mereka bermula jam 9 malam pada malam tersebut.

“Walabagaimanapun, setelah pemantauan dilakukan kita dapati masih terdapat pengusaha yang degil terus menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun telah diingatkan sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ismail berkata, kesemua premis terbabit di saman di bawah Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171 Seksyen 109) atas kesalahan ingkar kepada notis dikeluarkan sekali gus dikenakan hukuman denda RM500 bagi setiap saman.

“Pihak kita berharap peniaga akan lebih berdisiplin setelah pemberian notis dikeluarkan selepas ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan juga, Jabatan Agama Islam daerah telah mengeluarkan notis serta melakukan tangkapan bagi pasangan yang didapati bersekedudukan secara tidak sah.
(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/tujuh-pusat-hiburan-disaman-1.104340)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.