Ismail Abu
Ismail (kiri) ketika menyerahkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan awal Ramadan lalu.
Tak jemu cari inspirasi baru jadikan Segamat antara bandar terbaik
Antara program kebersihan, keceriaan dan keindahan yang dilakukan di Segamat Baru.




























BERBEKALKAN pengalaman lebih 13 tahun bertugas di sektor kerajaan menjadikan Ismail Abu,  42,  seorang anak kelahiran Kampung Melayu, Kluang, Johor lebih matang dalam menangani isu berkaitan masyarakat setempat.

Anak pertama daripada lima beradik itu sentiasa mencari inspirasi terbaru untuk diaplikasikan dalam bidang pekerjaannya yang pada masa itu bertugas di sebuah kilang elektronik sebaik tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Kepujian.

Atas usaha gigihnya untuk menimba pengalaman di semua bidang pekerjaan, beliau telah menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor kerajaan pada tahun 1997 sebagai pegawai tadbir negeri ini setelah memohon jawatan itu sebaik tamat belajar dahulu.

Untuk permulaan, beliau bertugas di Pejabat Tanah Batu Pahat sekitar tahun 1997 hingga 2003 sebagai pegawai pentadbir tanah dan berterusan memegang jawatan itu sehingga tahun 2005 di beberapa daerah lain.

Pada tahun 2003, beliau ditukarkan ke daerah Muar sehingga 2004 dan bertukar ke daerah Mersing sehingga 2005 dengan jawatan sama, tetapi berlainan daerah hanya dalam jangka masa yang singkat.

Atas berkat kesabarannya, beliau sekali lagi telah ditukarkan ke Majlis Perbandaran Kulai pada tahun 2005 dengan menyandang jawatan setiausaha MPKU sehingga 2011 dan ianya satu tempoh  masa yang panjang.


Ubah persepsi penduduk  

SEHINGGA tahun itu (2011), Ismail diberi kepercayaan untuk bertugas di daerah Segamat sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat (MDS) pada tahun tersebut.

Menurutnya, sepanjang bertugas di daerah ini banyak perkara yang difikirkan bagi mengubah persepsi penduduk luar atau penduduk daerah sendiri untuk menjadikan Segamat sebuah daerah yang indah dan terkenal seperti daerah lain.

Beliau berkata, dari segi ekonomi memang diakui daerah itu berpotensi untuk menjana satu ekonomi yang pesat setelah banyak perubahan dilakukan seperti mempercepatkan kelulusan lesen bagi pengusaha, pemilik kedai dan permohonan yang lain.

“Semenjak kita mengubah kelulusan lesen dengan lebih cepat hanya dalam tempoh 24 jam atau kurang daripada enam bulan dari sebelumnya, sudah banyak pemaju dan pengusaha berminat untuk melabur di daerah ini.

“Dalam simpanan maklumat yang kita perolehi anggaran dalam sebulan lebih daripada 20 jenis lesen pelbagai permohonan telah diluluskan melalui sistem yang kita perbaharui sekarang ini,” katanya.


Pembangunan secara terancang

MENURUTNYA, menjadi satu tarikan kepada pemaju di luar Segamat untuk melabur ke daerah itu selain mendatangkan keuntungan kepada banyak pihak termasuk penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan yang dibuka kepada mereka.

“Sekiranya kelulusan lesen untuk beberapa jenis permohonan penting seperti bangunan lambat diselesaikan, masalah sampingan lain akan timbul sehingga memberi impak kepada semua pihak bukan sahaja bagi ekonomi MDS sahaja.

“Melihat dari segi prasarana penduduk tempatan sendiri sudah banyak pembangunan telah dilaksanakan tahun ini seperti pembukaan pasaraya Kip Mart, 1 Segamat, One Stop Bazar yang kesemuanya menyediakan pelbagai kemudahan untuk masyarakat setempat.

“Pertumbuhan yang pesat juga memberi lebih ruang dan peluang kepada anak jati daerah ini untuk menabur bakti di tempat sendiri tanpa perlu berhijrah ke negeri luar seperti sebelum ini,” katanya.

Justeru, Ismail turut berhasrat untuk merealisasikan program sifar sampah yang telah dilaksanakan pada tahun lepas melalui program kebersihan, keindahan dan keceriaan yang giat dijalankan sepanjang dua hari dalam seminggu secara berterusan di masa akan datang.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/tak-jemu-cari-inspirasi-jadikan-segamat-bandar-terbaik-1.81372)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.