MDS banteras poster haram
Poster pinjaman tidak berlesen yang telah ditanggalkan oleh pihak MDS.














SEGAMAT - Lebih 10 keping poster pinjaman tanpa lesen dikesan ditampal di sekitar daerah ini walaupun tindakan penguatkuasaan sudah diambil Majlis Daerah Segamat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat, Ismail Abu berkata, pihaknya juga ada menerima beberapa aduan mengenai papan tanda dan lampu jalan terlindung akibat poster haram
berkenaan khususnya di kawasan perumahan.

"Tindakan secara menyeluruh telah diambil oleh petugas MDS di bawah undang-undang vandalisme dengan bergerak secara berkumpulan melalui zon-zon tertentu.

“Timbul banyak masalah apabila iklan atau poster haram ini ditampal iaitu menyukarkan pengunjung dari luar untuk melihat nama lorong dan jalan, nombor tiang serta mencerminkan imej yang buruk apabila papan tanda dipenuhi oleh poster terbabit.

“Pihak MDS akan merujuk setiap nombor pendaftaran talian yang tertera di poster itu kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menamatkan perkhidmatan talian tersebut,” katanya.

Ismail berkata, MDS sebelum ini pernah menahan seorang lelaki sedang menampal poster pinjaman tanpa lesen itu di sebuah kawasan taman perumahan dan telah memberikan saman terhadap kesalahan dibuat.

"Setiap kesalahan bagi sekeping poster akan dikenakan denda sebanyak RM250 dan MDS pernah mengutip bayaran denda atas kesalahan itu dengan anggaran RM2,500 ke atas seorang pesalah.

“Usaha berterusan ini akan dapat memastikan daerah Segamat bebas daripada poster pinjaman tidak berlesen selepas ini.

“Sasaran ini boleh dicapai dengan kerjasama komuniti setempat dalam membanteras poster ah long terutamanya di kawasan taman kerana kebanyakan tangkapan sebelum ini di kawasan luar bandar,” katanya
(terima kasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/mds-banteras-poster-haram-1.104347)