Wednesday, November 21, 2012

Pastikan 3 projek siap ikut jadual


ARKIB : 22/10/2012
SEGAMAT 21 Okt. - Semua pihak diminta memastikan projek pembinaan jalan empat lorong dari Segamat ke Tangkak, tebatan banjir dan meluruskan jajaran Sungai Segamat serta landasan kereta api berkembar Gemas-Johor Bahru yang baru bermula, dapat disiapkan mengikut jadual.
Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, ketiga-tiga projek tersebut memberi impak yang besar dalam menentukan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi kepada penduduk di daerah ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, maklum balas daripada pelabur luar menerusi beberapa siri perbincangan yang diadakan sebelum ini menyatakan kebimbangan mereka untuk melabur di Segamat disebabkan masalah banjir yang sering melanda serta sistem jalan raya yang tidak begitu baik.
"Ketiga-tiga projek pembangunan tersebut yang dalam pelaksanaan diharap dapat menarik lebih ramai pelabur luar datang ke sini, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk
.
"Jika semua projek tersebut dapat disiapkan dengan segera, bermakna Segamat akan mengalami pembangunan seperti Muar dan Kluang yang terletak bersebelahan tidak lama lagi," katanya semasa berucap pada Program Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, apabila laluan empat lorong yang menghubungkan Segamat dan Tangkak itu siap kelak, lebih separuh masa perjalanan dapat dijimatkan iaitu kira-kira 30 minit berbanding satu setengah jam sekarang.

Mengenai projek tebatan banjir dan meluruskan jajaran sungai pula, ia dijangka mampu mengurangkan masalah banjir selain landasan berkembar yang bakal dibina lebih tinggi dapat menyelesaikan pengaliran air yang terganggu oleh landasan sekarang ketika berlakunya banjir.

Dalam masa yang sama beliau meminta penduduk Segamat memberikan kepercayaan kepada kerajaan sedia ada bagi mentadbir negara kerana segala perancangan pembangunan yang sudah dirancang tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan tidak lagi berkuasa.


(terima kasih sumber:)Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121022/wj_01/Pastikan-3-projek-siap-ikut-jadual#ixzz2Cr15uMjT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment